info terkini

 

Fotline.ws

Sila Sign Buku Pelawat ini.

Pengikut

Sabtu, 9 April 2011

Nota Ringkas HBHE3203 Kebersihan dan Keselamatan Persekitaran

TOPIK 1
• Rancangan Kesihatan Sekolah (RKS) telah dimulakan sejak tahun 1967.
• Dalam tempoh tiga tahun RKS dijalankan, Malaysia secara khusus telah mengalami banyak perubahan dari aspek kesihatan dan trend penyakit. Oleh itu, amat wajar RKS dikaji semula untuk membentuk satu jentera pelaksanaan kesihatan sekolah yang lebih komprehensif.
• Pada tahun 1996, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan projek Health Promoting School (HPS) di enam buah negeri iaitu Johor, Kedah, Melaka, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
• Projek ini berdasarkan konsep HPS yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berteraskan Piagam Ottawa.
• Persidangan HPS yang telah diadakan pada bulan Disember 1996, di antara Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah mencadangkan supaya RKS yang sedia ada diberi nafas baru, dengan mewujudkan Program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS ).
• Tujuan PBSS ialah untuk menyatupadukan dan menyelaraskan semua aktiviti berkaitan dengan kesihatan sekolah.


TOPIK 2
• Tugas, tanggunggjawab serta peranan sekolah itu penting dalam mewujudkan persekitaran yang ceria di sekolah di samping dapat memainkan peranan dalam melatih murid-murid menyayangi dan memahami erti kebersihan yang sebenar.
• Dengan adanya kesedaran ini maka amalan kebersihan di sekolah dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.
• Kerjasama daripada semua pihak merupakan elemen yang terpenting dalam merealisasikan amalan kebersihan di sesebuah sekolah.

TOPIK 3
• Melalui program kesihatan sekolah diharap dapat melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan bersahsiah tinggi tetapi dapat melahirkan pelajar yang dapat menjadikan penjagaan aspek kesihatan sebagai sesuatu yang amat penting dalam kehidupan mereka.
• Pelbagai program berorientasikan kesihatan dapat memperkasakan pelajar berkaitan kepentingan penjagaan kesihatan. Ia juga mendorong pelajar mengambil langkah sendiri dalam memelihara tahap kesihatan diri sendiri.
• Warga sekolah yang sihat diharap mampu menggerakkan negara ke arah pembangunan yang lebih pesat. Selain itu, masyarakat yang sihat pada hari ini dapat melahirkan generasi yang sihat pada masa hadapan.
• PROSTAR dan program pendidikan AIDS membentuk pelajar yang berpengetahuan, bersikap positif serta mengelakkan amalan yang berisiko mendedahkan mereka kepada jangkitan HIV.
• Program Doktor Muda membentuk sekumpulan Doktor Muda selaku Pembimbing Rakan Sebaya yang membantu pihak sekolah dalam menjayakan beberapa aktiviti pencegahan dan pengawalan penyakit.
• Pelaksanaan program melibatkan usaha sama pihak sekolah, ibu bapa, NGO serta pelbagai agensi awam yang berkaitan.

TOPIK 4
• Konsep keselamatan diri perlu dilihat berdasarkan aspek emosi dan fizikal. Dalam aspek emosi, keselamatan diri dipersepsi sebagai seseorang itu berasa selesa dan mesra terhadap gerak balas dirinya terhadap orang lain seperti keluarga, rakan dan masyarakat sekitarnya. Aspek fizikal pula melibatkan seseorang itu bebas daripada penderitaan atau kesakitan yang berpunca daripada kecederaan.
• Keselamatan diri boleh didefinisikan sebagai keupayaan seseorang untuk melindungi dirinya daripada mendapat kemudaratan secara fizikal dan mental, sebagai gerak balas terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam dirinya serta di sekelilingnya.
• Kemalangan tidak memilih mangsa sekiranya seseorang itu tidak mengambil langkah-langkah pencegahan. Konsep keselamatan bergantung pada di mana, bagaimana dan kenapa ia berlaku.
• Penggunaan alat-alat perlindungan keselamatan merupakan kaedah kawalan yang penting setelah langkah-langkah kawalan yang lain dilakukan. Penggunaannya berbeza mengikut bidang tugas dan persekitaran kerja.
• Salah satu punca utama kes kecederaan dan kemalangan adalah kerana kecuaian. Ia berpunca daripada sikap sambil lewa atau sikap tidak ambil peduli.
• Prinsip utama apabila anda berhadapan dengan sebarang keadaan kecemasan ialah mempastikan keselamatan anda terjamin terlebih dahulu sebelum anda membantu orang lain.

TOPIK 5
• Penjagaan keselamatan bukan setakat menjadi hangat hanya apabila berlakunya sesuatu kemalangan di sekolah tetapi mestilah menjadi salah satu agenda utama pengurusan sekolah.
• Bertindaklah sebelum sesuatu kemalangan berlaku dan bukannya bertindak selepas sesuatu kemalangan berlaku.
• Infrastruktur bilik darjah yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran seseorang pelajar bukan setakat bersih dan ceria tetapi mestilah selamat.
• Penyelenggaraan alat-alat bantuan mengajar sentiasa menjadi salah satu keutamaan pihak sekolah. Peralatan yang tidak diselenggarakan secara berkala dan sempurna boleh mengurangkan jangka hayat penggunaan peralatan tersebut.
• Prosedur keselamatan dalam bilik darjah dan makmal haruslah sentiasa diingatkan dan dimaklumkan kepada semua warga sekolah. Prosedur keselamatan mengutamakan tiga perkara yang paling utama iaitu tahu, faham serta buat.
• Persekitaran sekolah yang berteraskan kepada empat elemen iaitu kecantikan, keindahan, keselamatan dan keselesaan (4K) amatlah berguna dalam membentuk dan menjamin suasana yang kondusif untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Kemalangan dan kecederaan di kawasan persekitaran sekolah dapat dikurangkan dengan kaedah menilai dan mengawal risiko.
• Konsep SAFE dapat menerangkan berkaitan penjagaan keselamatan di sekolah.

TOPIK 6
• Pendidikan Kesihatan Persekitaran dapat dilaksanakan secara formal dan juga tidak formal. Pendidikan Kesihatan Persekitaran menjamin wujudnya persekitaran sihat yang membentuk suasana sejahtera bagi warga sekolah.
• Pendidikan Kesihatan Persekitaran boleh dijalankan secara perkongsian bijak dengan agensi-agensi lain. Agensi-agensi luar dapat memberi sokongan dalam bidang masing-masing.
• Usaha-usaha perlu untuk menambahbaik aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah untuk memperkemaskan Pendidikan Persekitaran.
• Menjadikan mata pelajaran Pendidikan Kesihatan sebagai kesepaduan dengan mata pelajaran akademik yang lain. Warga sekolah khusus para pelajar harus diberi pendedahan dalam pembelajaran berdasarkan pengalaman bersama agensi-agensi luar.

TOPIK 7
• Air merupakan keperluan utama manusia dan perlu dikekalkan tahap kebersihannya.
• Air terdiri daripada pelbagai jenis seperti air kerpasan, air permukaan dan air bumi.
• Pencemaran air berlaku kerana aktiviti manusia yang gagal mengurus sisa dan sumber yang menyebabkan air tercemar.
• Kaedah pembuangan sampah perlu dilestarikan agar kita tidak akan ditimpa musibah akibat sistem pelupusan yang tidak berkesan.
• Air yang bersih menjamin kesihatan.

TOPIK 8
• Pencemaran bukan setakat mendatangkan kesan buruk kepada manusia malah kepada organisma lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
• Pencemaran udara atau atmosfera berlaku apabila bahan beracun atau toksid sama ada dalam bentuk gas, asap atau habuk dilepaskan ke udara.
• Pencemaran air melibatkan sumber atau punca air seperti tasik, sungai, laut dan air bawah tanah yang dicemari oleh bahan cemar yang dikeluarkan melalui aktiviti-aktiviti manusia seperti perkilangan, pertanian, perumahan, penerokaan tanah dan sebagainya.
• Pencemaran tanah berlaku apabila terdapatnya bahan cemar yang dibuang secara sengaja atau tidak sengaja ke atas permukaan atau ke dalam tanah. Keadaan ini mengganggu keadaan asal atau semulajadi struktur tanah.
• Peraturan utama yang berkaitan dengan semua aktiviti persekitaran adalah termaktub di dalam Akta Kualiti Persekitaran (Environment Quality Act, 1974), pindaan tahun 1985 dan 1996 (Azizi Ahmad, 2007). Akta ini turut disokong oleh lain-lain akta yang menjurus kepada matlamat yang sama iaitu untuk mempelihara dan menjaga alam sekitar.
• Keperluan dan perancangan untuk membina kilang dan pembukaan kawasan baru untuk industri tertakluk kepada panduan yang tedapat di dalam Akta Kualiti Persekitaran 1974 yang menyediakan rangka kerja berkaitan dengan undang-undang dan peraturan alam sekitar di Malaysia.
• Sanitasi persekitaran amatlah penting untuk menjamin sesebuah kawasan itu bebas daripada bahan cemar yang berpunca daripada air kumbahan dari kawasan perumahan, perindustrian, penternakan dan sebagainya.
• Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Ungkapan ini membawa kepada makna bahawa langkah-langkah pencegahan hendaklah diambil berat terlebih dahulu dalam aspek perancangan dan pelaksanaan apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan aspek persekitaran.
• Promosi kesihatan bukan setakat memberikan kesedaran kepada orang ramai atau masyarakat awam berkaitan maklumat kesihatan. Malah, ia lebih kepada menggerakkan dan memperkasakan mereka supaya sedar serta mengambil tindakan yang perlu untuk melakukan langkah-langkah pencegahan terhadap sesuatu penyakit atau masalah kesihatan.
• Diagnosis awal dan rawatan awal amatlah penting dalam pengendalian sesuatu penyakit. Dengan membuat pemeriksaan awal, pihak hospital atau klinik boleh mengenal pasti punca-punca penyakit serta jenis rawatan dan ubat yang boleh diberikan kepada pesakit.
• Rehabilitasi atau pemulihan bukan setakat memberikan ubat bagi mengurangkan penyakit yang dihidapi tetapi juga untuk mengurangkan ketidakupayaan serta mempertingkatkan kualiti hidup seseorang pesakit itu.

TOPIK 9
• Bakteria adalah mikroorganisma bersaiz kecil di antara 0.3 ke 14 μm. Bakteria tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop.
• Virus adalah mikroorganisma dan hanya dapat hidup dalam tisu-tisu hidup seperti dalam darah atau bendalir dalam badan manusia atau haiwan.
• Kulat atau dalam istilah perubatan disebut Fungi. Kulat adalah mikroorganisma sel Eukaryotic.
• Protozoa merupakan mikroorganisma yang mempunyai sel Eukaryotic. Protozoa adalah sel tunggal yang paling kecil dan bersaiz di antara 5 hingga 50 μm.
• Mekanisme pertahanan manusia terbahagi kepada dua iaitu mekanisme pertahanan luaran dan dalaman.
• Lingkungan jangkitan sesuatu mikroorganisma dapat diterangkan dengan prinsip rangkaian jangkitan (chain of infection). Terdapat enam elemen utama dalam rangkaian jangkitan yang saling berkaitan dalam menyebabkan berlakunya sesuatu jangkitan.
• Apabila Patogen memasuki badan seseorang dan hidup di dalamnya, seseorang itu dikatakan telah dijangkiti. Sekiranya Patogen itu membiak dan menyebabkan seseorang itu sakit, dia dikatakan telah menghidap penyakit berjangkit.
• Sistem pertahanan atau imuniti badan adalah umpama bala tentera yang mengawal sesebuah negara dari dicerobohi oleh musuh.
• Teknik Aseptik ialah kaedah khusus serta prosedur tertentu yang digunakan dalam keadaan yang amat terkawal yang bertujuan mengelak dan mencegah pencemaran oleh Patogen atau lain-lain mikroorganisma merbahaya.
• Prinsip dalam kawalan jangkitan ialah mencegah jangkitan dengan cara memutuskan dan memusnahkan rangkaian jangkitan sesuatu penyakit. Sebahagian organisma tidak secara serta-merta menyebabkan sesuatu penyakit. Ia bergantung kepada tahap ganas (virulence) dan tahap menakluki (invasiveness) sesuatu Patogen itu.
• Piawai pengawasan yang berkaitan dengan pencegahan dan kawalan jangkitan dapat dilihat dalam beberapa perkara seperti polisi dan peraturan, kumpulan atau jawatankuasa pelaksana kawalan jangkitan, pendidikan dan latihan, kemudahan dan kelengkapan serta persekitaran yang bersih.

TOPIK 10
• Bunyi bising bukan setakat memberi kesan kepada masalah kesihatan secara fizikal malah dalam aspek mental. Kebisingan diukur dengan Desibel (dB).
• Terdapat beberapa punca bunyi bising. Antaranya ialah punca secara semula jadi dan buatan manusia.
• Tahap bunyi yang menimbulkan keadaan kacau-bilau dan hingar-bingar kepada seseorang sama ada di persekitaran kerja atau semasa berehat di rumah boleh dianggap sebagai suatu bentuk kebisingan. Kebisingan inilah yang dimaksudkan sebagai pencemaran bunyi.
• Kesan bunyi bising kepada manusia terbahagi kepada dua iaitu kesan kepada telinga (auditory effect) dan kesan di luar telinga (non-auditory effect).
• Unit Kawalan Mutu Makanan (UKMM) berperanan dalam merancang, melaksana, memantau serta menilai program dan aktiviti yang berkaitan dengan aspek keselamatan, kualiti serta kebersihan makanan.
• Matlamat utama Unit Rancangan Kebersihan Alam Sekitar (URKAS) adalah untuk mewujudkan suatu persekitaran sihat dan sesuai serta mampu mendatangkan kebaikan kepada kesihatan fizikal dan mental penghuni-penghuninya.
• Unit Kesihatan Am (UKA) adalah sebuah unit yang bertanggungjawab terhadap bidang-bidang kesihatan am yang menyokong unit-unit lain di dalam sesebuah organisasi pejabat kesihatan.
• Simptom-simptom jangkitan yang berkaitan dengan toksik boleh dilihat dari segi pendedahan seseorang terhadap bahan tersebut. Terdapat dua jenis pendedahan iaitu pendedahan yang teruk (acute exposure) dan pendedahan yang kronik (chronic exposure).
• Antara bahan toksid yang boleh menyebabkan penyakit kanser ialah bahan yang mengandungi Karsinogen. Debu dan habuk yang berterbangan di udara boleh memasuki saluran pernafasan dan menyebabkan jangkitan pada paru-paru.
• Kawalan terhadap bahan-bahan toksik memerlukan tahap teknologi dan kos yang tinggi. Tetapi jika dilihat dari segi keuntungan jangka panjang kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk, sememangnya pengurusan yang cekap terhadap bahan atau sisa toksik dari industri merupakan satu langkah yang wajib dilakukan oleh semua pihak.
• Prinsip utama apabila menghadapi penyakit atau masalah kesihatan ialah perlu mendapatkan rawatan dengan segera.


0 ulasan:

APAKAH YANG AKU KEJAR HINGGA KINI? Fotline.ws
leTakkan KehIdupan DuniaMu iTu dI TangAn dAn akhIrat iTu DiHAti aGAr HaL Dunia MuDah dibahaGi-bAHagikan & AkhirAt itU DibAWa MaTi...
Hidup Yang Seimbang Adalah Penawar
Salah satu punca tekanan yang menyerang ramai orang pada hari ini ialah ‘ketagih bekerja’. Mereka dikenali juga sebagai workaholic kerana keasyikan bekerja siang dan malam sehingga melupakan segala tanggungjawab yang lain. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Bryan E. Robinson dari Universiti North Carolina di Charlotte, golongan ini mengeluarkan banyak hormon adrenaline di dalam badan mereka dan hormon ini membebankan jantung, menyebabkan darah tinggi dan menyempitkan pembuluh darah. Perubahan-perubahan ini mendedahkan golongan ini kepada sakit jantung, strok, kesugulan dan keinginan untuk membunuh diri. Berlebih-lebihan di dalam sesuatu perkara akan membawa kepada kebinasaan. Di antara nasihat yang amat baik untuk kita hayati ialah yang pernah dinasihatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi ra kepada Abu Dardak ra. Nasihat ini kemudiannya disokong oleh Nabi Muhammad, iaitu: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, dirimu mempunyai hak ke atasmu dan keluargamu mempunyai hak ke atasmu. Berikan setiap yang berhak ini haknya.” (Riwayat Bukhari)

Cikgu Sha'ari

video klip pilihan minggu ni

aku seorang guru

Waktu Bumi

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008 | Distributed by Blogger Blog Templates

Back to TOP