Samseng Sekolah
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
METRO9MAC2009
ISU pelajar samseng atau gengsterisme di sekolah bukan baru. Malah, saban tahun, ada saja kes pergaduhan membabitkan pelajar.
Malah, jika menatap akhbar sepanjang minggu lalu, banyak kes membabitkan pergaduhan pelajar sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
Terbaru, seorang pelajar tingkatan empat meninggal dunia selepas seminggu koma akibat dibelasah sekumpulan 24 remaja yang dipercayai pelajar sekolah.
Apakah ini trend pelajar masa kini, hanya berebut seorang gadis, pelajar terbabit dipukul dengan besi, topi keledar dan pengunci motosikal selain ditendang tanpa belas kasihan.
Ada pula pengawas sekolah dibelasah 10 pelajar berikutan tidak puas hati ditegur ketika membuat bising di dalam kelas dan kereta baru guru sebuah sekolah dibakar kerana ditegur tidak menyiapkan kerja sekolah.
Walaupun masih berhingus, jangan terkejut jika pelajar sekolah mempunyai kumpulan atau geng tertentu untuk melakukan huru-hara.
Mengapa fenomena sedemikian boleh berlaku. Tidak cukupkan pendidikan agama dan moral yang mereka pelajari di sekolah dan di rumah?
Apa yang mereka mahu sehingga sanggup terbabit dengan kes yang membawa kepada kematian. Adakah mereka ini jahat, ingin menunjukkan mereka punya kuasa atau mahu menarik perhatian masyarakat?
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya, Profesor Dr Suradi Salim, berkata pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini bukan jahat tetapi ingin menunjukkan mereka kuat dan punya kuasa.
Beliau berkata, seseorang pelajar yang terbabit dengan samseng sekolah ini akan berasa selamat dan bangga kerana mereka digeruni pelajar lain.
"Sebagai pelajar, mereka punya naluri untuk menjadi seorang yang digeruni dan dikenali di sekolah.
"Selain menjadi pelajar cemerlang, seseorang itu akan menjadi terkenal di sekolah kerana masalah disiplin yang dilakukan. Inilah yang mereka mahukan.
0 ulasan:
Catat Ulasan