info terkini

 

Sila Sign Buku Pelawat ini.

Pengikut

Isnin, 14 Disember 2009

Guru SK Dibebani Tugas Kerani?

PELBAGAI pihak menyalahkan guru sekolah Kebangsaan (SK) kerana dikatakan gagal mendidik pelajar jika dibandingkan dengan guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang kononnya cemerlang. Lantaran itu ada pihak yang mencadangkan agar guru SK dihantar mengikuti kelas pembelajaran Matematik dan Sains di SJKC terpilih.

Malah ada pertubuhan perguruan mempertikaikan komitmen guru SK dalam mendidik pelajar dan menuduh guru SK kurang memberikan latihan kepada pelajar. Semua pihak menghentam guru SK seolah-olah mereka inilah yang harus dipersalahkan dan mereka yang mengkritik pula telah menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.

Golongan ini langsung tidak melihat elemen-elemen lain yang menyebabkan prestasi SK merosot. Sedarkah mereka bahawa SJKC hanya mengambil pelajar Cina yang pintar sahaja untuk belajar di SJKC manakala lebihannya dihantar ke SK untuk didik oleh guru SK?

Adilkah bebanan yang terpaksa ditanggung oleh guru SK? Golongan ini juga tidak sedar bahawa merekalah yang 'merosakkan' reputasi guru sebagai pendidik dengan membebankan guru SK dan SMK dengan tugas-tugas perkeranian yang semakin menimbun saban tahun.

Setiap pengetua dan guru besar pula menekan guru-guru untuk menyediakan pelbagai laporan yang boleh dibuktikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri agar membolehkan mereka layak mendapat jawatan Pengetua Cemerlang. Itu belum lagi tugas sebenar seorang guru iaitu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang 'terganggu' oleh keperluan jabatan-jabatan kerajaan lain seperti Jabatan Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan banyak lagi.

Semua keperluan ini sepatutnya dilakukan oleh kakitangan bergelar kerani, bukannya guru kerana tugas sebenar seorang guru ialah terlibat dengan P&P. Namun semuanya itu dilonggokkan ke atas bahu para guru dengan alasan profesionalisme. Semakin banyak kerja perkeranian dan perburuhan yang dilakukan maka semakin profesionallah guru tersebut.

Sebenarnya banyak lagi aspek dan elemen yang boleh 'dikambinghitamkan' sebagai jawapan atas kegagalan pelajar di SK. Antaranya ialah sikap tidak bertanggungjawab dan tidak prihatin ibu bapa, kemiskinan, kurang pendedahan, persekitaran, kurang kemudahan dan sebagainya.

Namun semua itu akan dapat diatasi sekiranya profesionalisme perguruan dikembalikan ke jalan yang benar iaitu para guru 100 peratus melibatkan diri dengan P&P, bukannya sebagai kerani kaunter kutipan bayaran, kerani mengira kehadiran penonton di stadium, kerani statistik, kerani banci penduduk, kerani syarikat penyelenggaraan dan lain-lain yang langsung tidak berkaitan dengan P&P.

Jika golongan pensyarah di kolej-kolej dan universiti boleh menjalankan P&P mereka tanpa kerja-kerja yang tak berkaitan, mengapa guru-guru tidak?

Menteri Pelajaran sebelum ini pernah membuat penyelidikan betapa banyaknya beban kerja guru. Malah beliau telah mengungkapkan "saya kasihan akan guru-guru saya" apabila hasil kajian beliau mendapati para guru 'diseksa' dengan kerja-kerja perkeranian yang melambak-lambak. Namun setakat itu sahaja kerana dunia perguruan terus bercelaru dengan pelbagai beban kerja di luar P&P.

Kerja-kerja perkeranian mengganggu P&P guru. Guru adalah manusia biasa yang mempunyai kemampuan berfikir dan bekerja yang terhad. Pengetua, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pelajaran Malaysia, masing-masing hanya mahukan satu laporan atau satu statistik sahaja daripada seorang guru tetapi guru tersebut perlu melakukan empat pekerjaan di luar bidang P&Pnya. Alangkah bagusnya setiap tahun hanya satu kerja sahaja daripada empat pihak tersebut. Ironinya keadaan itu adalah mustahil!

Janganlah salahkan guru semata-mata. Sistem pendidikan dan penyampaian Kementerian Pelajaran Malaysia wajar berlaku adil kepada seluruh guru. Berilah keadilan kepada guru-guru SK dan SMK, iaitu 100 peratus P&P dan tiada lagi 'guru kerani'. Insya-Allah pendidikan SK dan SMK akan terus gemilang.

NORHISYAM MOHAMAD

Kota Sarang Semut, Kedah

Utusan Malaysia Online: 26 November 2009

0 ulasan:

APAKAH YANG AKU KEJAR HINGGA KINI? Fotline.ws
leTakkan KehIdupan DuniaMu iTu dI TangAn dAn akhIrat iTu DiHAti aGAr HaL Dunia MuDah dibahaGi-bAHagikan & AkhirAt itU DibAWa MaTi...
Hidup Yang Seimbang Adalah Penawar
Salah satu punca tekanan yang menyerang ramai orang pada hari ini ialah ‘ketagih bekerja’. Mereka dikenali juga sebagai workaholic kerana keasyikan bekerja siang dan malam sehingga melupakan segala tanggungjawab yang lain. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Dr. Bryan E. Robinson dari Universiti North Carolina di Charlotte, golongan ini mengeluarkan banyak hormon adrenaline di dalam badan mereka dan hormon ini membebankan jantung, menyebabkan darah tinggi dan menyempitkan pembuluh darah. Perubahan-perubahan ini mendedahkan golongan ini kepada sakit jantung, strok, kesugulan dan keinginan untuk membunuh diri. Berlebih-lebihan di dalam sesuatu perkara akan membawa kepada kebinasaan. Di antara nasihat yang amat baik untuk kita hayati ialah yang pernah dinasihatkan oleh sahabat Salman Al-Farisi ra kepada Abu Dardak ra. Nasihat ini kemudiannya disokong oleh Nabi Muhammad, iaitu: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, dirimu mempunyai hak ke atasmu dan keluargamu mempunyai hak ke atasmu. Berikan setiap yang berhak ini haknya.” (Riwayat Bukhari)

Cikgu Sha'ari

video klip pilihan minggu ni

aku seorang guru

Waktu Bumi

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008 | Distributed by Blogger Blog Templates

Back to TOP